Semoga
Allah s.w.t memberikan kamu kejayaan di dalam amalan-amalan kamu yang
disukai-Nya dan Semoga kamu memperolehi keredaan-Nya. Fikirkan, tekankan kepada
pemikiran kamu dan fahamkan apa yang aku katakan.
Allah
Yang Maha Tinggi pada permulaannya menciptakan cahaya Muhammad daripada cahaya
suci Keindahan-Nya. Dalam hadis Qudsi Dia berfirman: “Aku ciptakan ruh Muhammad
daripada cahaya Wajah-Ku”.
Ini dinyatakan juga
oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya:
“Mula-mula Allah
ciptakan ruhku. Pada permulaannya diciptakan-Nya sebagai ruh suci”.
“Mula-mula Allah
ciptakan qalam”.
“Mula-mula Allah
ciptakan akal”.
Apa
yang dimaksudkan sebagai ciptaan permulaan itu ialah ciptaan hakikat kepada
Nabi Muhammad s.a.w, Kebenaran tentang Muhammad yang tersembunyi. Dia juga
diberi nama yang indah-indah. Dia dinamakan nur, cahaya suci, kerana dia
dipersucikan dari kegelapan yang tersembunyi di bawah sifat jalal Allah. Allah
Yang Maha Tinggi berfirman: “Sesungguhnya
telah datang kepada kamu dari Allah, cahaya dan kitab yang menerangkan”.
(Al-Maaidah, ayat 15)
Dia
dinamakan akal yang meliputi (akal universal) kerana dia telah melihat dan
mengenali segala-galanya. Dia dinamakan qalam kerana dia menyebarkan hikmah dan
ilmu dan dia mencurahkan ilmu ke dalam huruf-huruf.
Roh
Muhammad adalah zat atau hakikat kepada segala kejadian, permulaan dan
kenyataan alam maya. Baginda s.a.w menyatakan hal ini dengan sabdanya, “Aku daripada Allah dan
sekalian yang lain daripadaku” .
Allah Yang Maha Tinggi menciptakan sekalian roh-roh daripada roh baginda s.a.w
di dalam alam kejadian yang pertama, dalam bentuk yang paling baik. ‘Muhammad'
adalah nama kepada sekalian kemanusiaan di dalam alam arwah. Dia adalah sumber,
asal usul dan kediaman bagi sesuatu dan segala-galanya.
Empat
ribu tahun selepas diciptakan cahaya Muhammad, Allah ciptakan arasy daripada
cahaya mata Muhammad. Dia ciptakan makhluk yang lain daripada arasy. Kemudian
Dia hantarkan roh-roh turun kepada peringkat penciptaan yang paling rendah,
kepada alam kebendaan, alam jirim dan badan.
“Kemudian Kami
turunkan ia kepada peringkat yang paling rendah” . (Surah Tin, ayat 15)
Dia
hantarkan cahaya itu daripada tempat ia diciptakan, dari alam lahut, iaitu alam
kenyataan bagi Zat Allah, bagi keesaan, bagi wujud mutlak, kepada alam
nama-nama Ilahi, kenyataan sifat-sifat Ilahi, alam bagi akal asbab kepunyaan
roh yang meliputi (roh universal). Di sana Dia pakaikan roh-roh itu dengan
pakaian cahaya. Roh-roh ini dinamakan ‘roh pemerintah'. Dengan berpakaian
cahaya mereka turun kepada alam malaikat. Di sana mereka dinamakan ‘roh
rohani'. Kemudian Dia arahkan mereka turun kepada alam kebendaan, alam jirim,
air dan api, tanah dan angin dan mereka menjadi ‘roh manusia'. Kemudian
daripada dunia ini Dia ciptakan tubuh yang berdaging, berdarah.
“Kemudian Kami
jadikan kamu dan kepadanya kamu akan dikembalikan dan daripadanya kamu akan
dibangkitkan sekali lagi”. (Surah Ta Ha, ayat 55)
Selepas peringkat-peringkat
ini Allah memerintahkan roh-roh supaya memasuki badan-badan dan dengan
kehendak-Nya mereka pun masuk.
“Maka apabila Aku
sempurnakan kejadiannya dan Aku tiup padanya roh-Ku…”. (Surah Shad, ayat 72)
Sampai
masanya roh-roh itu terikat dengan badan, dengan darah dan daging dan lupa
kepada asal usul kejadian dan perjanjian mereka. Mereka lupa tatkala Allah
ciptakan mereka pada alam arwah Dia telah bertanya kepada mereka: “Adakah aku Tuhan kamu? Mereka
telah menjawab:Iya, bahkan!.”
Mereka
lupa kepada ikrar mereka. Mereka lupa kepada asal usul mereka, lupa juga kepada
jalan untuk kembali kepada tempat asal mereka. Tetapi Allah Maha Penyayang,
Maha Pengampun, sumber kepada segala keselamatan dan pertolongan bagi sekalian
hamba-hamba-Nya. Dia mengasihani mereka lalu Dia hantarkan kitab-kitab suci dan
rasul-rasul kepada mereka untuk mengingatkan mereka tentang asal usul mereka.
“Dan Sesungguhnya
Kami telah utuskan Musa (membawa) ayat-ayat Kami (sambil Kami mengatakan):
hendaklah kamu keluarkan kaum kamu dari kegelapan kepada cahaya, dan ingatkan
mereka kepada hari-hari Allah”. (Surah
Ibrahim, ayat 5)
Yaitu ‘ingatkan roh-roh
tentang hari-hari di mana mereka tidak terpisah dengan Allah'.
Ramai
rasul-rasul telah datang ke dunia ini, melaksanakan tugas mereka dan kemudian
meninggalkan dunia ini. Tujuan semua itu adalah membawa kepada manusia
perutusan, peringatan serta menyedarkan manusia dari kelalaian mereka. Tetapi
mereka yang mengingati-Nya, yang kembali kepada-Nya, manusia yang ingin kembali
kepada asal usul mereka, menjadi semakin berkurangan dan terus berkurangan
ditelan zaman.
Nabi-nabi
terus diutuskan dan perutusan suci berterusan sehingga muncul roh Muhammad yang
mulia, yang terakhir di kalangan nabi-nabi, yang menyelamatkan manusia daripada
kehancuran dan kelalaian. Allah Yang Maha Tinggi mengutuskannya untuk
membuka mata manusia iaitu membuka mata hati yang ketiduran. Tujuannya
ialah mengejutkan manusia dari kelalaian dan ketidaksedaran dan untuk
menyatukan mereka dengan keindahan yang abadi, dengan penyebab, dengan Zat
Allah. Allah berfirman:
“Katakan: Inilah jalanku yang aku dan orang-orang yang mengikuti daku
kepada Allah dengan pandangan yang jelas (basirah)”. (Surah Yusuf, ayat 108).
Ia
menyatakan jalan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w dalam menunjukkan tujuan
kita telah bersabda, “Sahabat-sahabatku adalah umpama bintang di langit.
Sesiapa daripada mereka yang kamu ikuti kamu akan temui jalan yang benar”.
Pandangan
yang jelas (basirah) datangnya daripada mata kepada roh. Mata ini terbuka di
dalam jantung hati orang-orang yang hampir dengan Allah, yang menjadi sahabat
Allah. Semua ilmu di dalam dunia ini tidak akan mendatangkan pandangan dalam
(basirah). Seseorang itu memerlukan pengetahuan yang datangnya daripada alam
ghaib yang tersembunyi pengetahuan yang mengalir daripada kesedaran
Ilahi.
“Dan Kami
telah ajarkan kepadanya satu ilmu dari sisi Kami (ilmu laduni)”. (Surah
Kahfi, ayat 65).
Apa
yang perlu seseorang lakukan ialah mencari orang yang mempunyai pandangan dalam
(basirah) yang mata hatinya celik, dan cetusan serta perangsang daripada orang
yang seperti ini adalah perlu. Guru yang demikian, yang dapat memupuk
pengetahuan orang lain, mestilah seorang yang hampir dengan Allah dan berupaya
menyaksikan alam mutlak.
Wahai
anak-anak Adam, saudara-saudara dan saudari-saudari! Bangunlah dan bertaubatlah
kerana melalui taubat kamu akan memohon kepada Tuhan agar dikurniakan-Nya
kepada kamu hikmah-Nya. Berusaha dan berjuanglah. Allah memerintahkan:
“Dan
berlumba-lumbalah kepada keampunan Tuhan kamu dan syurga yang lebarnya (seluas)
langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang berbakti. Yang menderma
di waktu senang dan susah, dan menahan marah, dan memaafkan manusia, dan Allah
kasih kepada mereka yang berbuat kebajikan”. (Surah Imraan, ayat 133 &
134).
Masuklah
kepada jalan itu dan bergabunglah dengan kafilah kerohanian untuk kembali
kepada Tuhan kamu. Pada satu masa nanti jalan tersebut tidak dapat dilalui lagi
dan pengembara pada jalan tersebut tidak ada lagi. Kita tidak datang ke bumi
ini untuk merosakkan dunia ini. Kita dihantar ke mari bukan untuk makan, minum
dan berak. Roh penghulu kita menyaksikan kita. Baginda s.a.w berdukacita
melihat keadaan kamu. Baginda s.a.w telah mengetahui apa yang akan
berlaku kemudian hari apabila baginda s.a.w bersabda, “Dukacitaku adalah untuk umat
yang aku kasihi yang akan datang kemudian”.
Apa
sahaja yang datang kepada kamu datang dalam keadaan salah satu bentuk, secara
nyata atau tersembunyi; nyata dalam bentuk peraturan syarikat dan tersembunyi
dalam bentuk hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Allah Yang Maha Tinggi
memerintahkan kita supaya mensejahterakan zahir kita dengan mematuhi peraturan
syarikat dan meletakkan batin kita dalam keadaan yang baik dan teratur dengan
memperolehi hikmah kebijaksanaan atau makrifat. Bila zahir dan batin kita
menjadi satu dan hikmah kebijaksanaan atau makrifat dengan peraturan agama
(syarikat) bersatu, seseorang itu sampai kepada makam yang sebenarnya
(hakikat).
“Dia alirkan dua
laut, padahal kedua-duanya bertemu. Antara dua itu ada dinding yang
kedua-duanya tidak mampu melewatinya”. (Surah Imraan, ayat 19 & 20).
Kedua-duanya
mesti menjadi satu. Kebenaran atau hakikat tidak akan diperolehi dengan hanya
menggunakan pengetahuan melalui pancaindera dan deria-deria tentang alam kebendaan.
Dengan cara tersebut tidak mungkin mencapai matlamat, sumber, iaitu Zat. Ibadat
dan penyembahan memerlukan kedua-duanya iaitu peraturan syarikat dan makrifat.
Allah berfirman tentang ibadat:
“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri
kepada-Ku”. (Surah Dzaariyat, ayat 56).
Dalam lain perkataan, ‘mereka diciptakan supaya
mengenali Daku' .
Jika seseorang tidak mengenali-Nya bagaimana dia boleh memuji-Nya dengan
sebenar-benarnya, meminta pertolongan-Nya dan berkhidmat kepada-Nya?
Makrifat yang
diperlukan bagi mengenali-Nya boleh dicapai dengan menyingkap tabir hitam yang
menutupi cermin hati seseorang, menyucikannya sehingga bersih dan
menggilapkannya sehingga bercahaya. Kemudian perbendaharaan keindahan yang
tersembunyi akan memancar pada rahasia cermin hati.
Allah Yang Maha Tinggi
telah berfirman melalui rasul-Nya:
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku
ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”.
Tujuan suci
diciptakan manusia ialah supaya mereka mengenali Allah, memperolehi makrifat.
Ada dua peringkat
makrifat yang suci. Seseorang itu perlu mengenali sifat-sifat Allah dan
dalil-dalil yang menjadi kenyataan atau penzahiran bagi sifat-sifat tersebut.
Satu lagi ialah mengenali Zat Allah. Di dalam mengenali sifat-sifat Allah
manusia secara zahirnya dapat menikmati kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat.
Makrifat yang memimpin kepada Zat Allah tidak diperolehi dengan diri zahir
manusia. Ia terjadi di dalam jiwa atau roh suci manusia yang berada di dalam
dirinya yang zahir ini.
“Dan Kami telah
perkuatkan dia (Isa) dengan roh kudus”. (Surah Baqarah, ayat 87).
Orang yang mengenali
Zat Allah menemui kuasa ini melalui roh kudus (suci) yang dikurniakan kepada
mereka.
Kedua-dua
makrifat tersebut diperolehi dengan hikmah kebijaksanaan yang mempunyai dua
aspek; hikmah kebijaksanaan kerohanian yang di dalam dan pengetahuan zahir
tentang benda-benda nyata. Kedua-duanya diperlukan untuk mendapatkaan kebaikan.
Nabi s.a.w bersabda, “Pengetahuan ada dua bahagian. Satu pada lidah yang
menjadi dalil tentang kewujudan Allah, satu lagi di dalam hati manusia. Inilah
yang diperlukan bagi melaksanakan harapan kita”.
Pada
peringkat permulaannya seseorang itu memerlukan pengetahuan syarikat. Ini
memerlukan pendidikan yang mengenalkan dalil-dalil luar tentang Zat Allah yang
menyata di dalam alam sifat-sifat dan nama-nama ini. Apabila bidang ini telah
sempurna sampailah giliran pendidikan kerohanian tentang rahasia-rahasia, di
mana seseorang itu masuk ke dalam bidang makrifat yang murni untuk mengetahui
yang sebenarnya (hakikat). Pada peringkat yang pertama seseorang itu mestilah
meninggalkan segala-galanya yang tidak dipersetujui oleh syariat malah,
kesilapan di dalam melakukan perbuatan yang baik mestilah dihapuskan. Perbuatan
yang baik mestilah dilakukan dengan cara yang betul, sebagaimana keperluan pada
jalan sufi. Keadaan ini boleh dicapai dengan melatihkan diri dengan melakukan
perkara-perkara yang tidak dipersetujui oleh ego diri sendiri dan melakukan
amalan yang bertentangan dengan kehendak hawa nafsu. Berhati-hatilah di dalam
beramal agar amalan itu dilakukan bukan untuk dipertontonkan atau
diperdengarkan kepada orang lain. Semuanya mestilah dilakukan semata-mata
kerana Allah, demi mencari keredaan-Nya. Allah berfirman:
“Barangsiapa
berharap menemui Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah
dia mempersekutukan sesuatu dengan Allah dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
(Surah Kahfi, ayat 110).
Apa
yang dihuraikan sebagai daerah makrifat itu adalah tahap penghabisan bagi
daerah kejadian yang pertama. Ia adalah permulaan dan merupakan rumah yang
setiap orang kembali ke sana . Di samalah roh suci dijadikan. Apa yang
dimaksudkan dengan roh suci adalah roh insan. Ia dijadikan dalam bentuk yang
paling baik.
Kebenaran
atau hakikat tersebut telah ditanam di tengah-tengah hati sebagai amanah Allah,
diamanahkan kepada manusia agar disimpan dengan selamat. Ia bangkit dan menyata
melalui taubat yang sungguh-sungguh dan usaha sebenar mempelajari agama.
Keindahannya akan memancar ke permukaan apabila seseorang itu mengingati Allah
terus menerus, mengulangi kalimah “La
ilaha illah Llah” .
Pada mulanya kalimah ini diucapkan dengan lidah. Bila hati sudah hidup ia
diucapkan di dalam, dengan hati.
Sufi
menggambarkan keadaan kerohanian yang demikian dengan menganggapnya sebagai
bayi, iaitu bayi yang lahir di dalam hati, dibela dan dibesarkan di sana . Hati
memainkan peranan seperti ibu, melahirkannya, menyusun, memberi makan dan
memeliharanya. Jika anak-anak diajarkan kepakaran keduniaan untuk kebaikannya,
bayi hati pula diajarkan makrifat rohani. Sebagaimana kanak-kanak bersih
daripada dosa, bayi hati adalah tulen, bebas daripada kelalaian, ego dan
ragu-ragu. Kesucian bayi biasanya menyata dalam bentuk zahir yang cantik. Dalam
mimpi, kesucian dan ketulenan bayi hati muncul dalam rupa malaikat. Manusia
berharap mendapat ganjaran syurga sebagai balasan kepada perbuatan baik tetapi
hadiah-hadiah yang didatangi dari syurga didatangkan ke mari melalui
tangan-tangan bayi hati.
“Dalam kebun-kebun
kenikmatan…melayani mereka anak-anak muda yang tidak berubah keadaan mereka”.
(Surah Waqi'ah, ayat 12 – 17 ).
“Melayani mereka
adalah anak-anak muda laksana mutiara yang tersimpan”. (Surah Tur, ayat 24).
Mereka
adalah anak-anak kepada hati, menurut yang diilhamkan kepada sufi, dipanggil
anak-anak kerana keelokan dan ketulenan mereka. Keindahan dan ketulenan mereka
menyata dalam kewujudan zahir, dalam darah daging, dalam bentuk manusia. Oleh
kerana keelokan dan kelembutan sifatnya ia dinamakan anak-anak hati, tetapi dia
adalah manusia sejati yang mampu mengubah bentuk kejadian atau ciptaan kerana
dia berhubung erat dengan Pencipta sendiri. Dia adalah wakil sebenar
kemanusiaan. Di dalam kesedarannya tidak ada sesuatu malah dia tidak melihat
dirinya sebagai sesuatu. Tiada hijab, tiada halangan di antara kewujudannya
dengan Zat Allah.
Nabi
Muhammad s.a.w menggambarkan suasana demikian sebagaimana sabda baginda s.a.w,
“ Ada masa aku dengan Allah di mana tiada malaikat yang hampir dan tidak juga
nabi yang diutus”. Maksud ‘nabi' di sini ialah kewujudan lahiriah yang
sementara bagi Rasulullah s.a.w sendiri. Malaikat yang paling hampir dengan
Allah ialah cahaya suci Muhammad s.a.w, kejadian pertama. Dalam suasana
kerohanian itu baginda s.a.w sangat hampir dengan Allah sehingga wujud zahirnya
dan rohnya tidak berkesempatan menghijabkannya dengan Allah. Baginda s.a.w
menggambarkan lagi suasana demikian, “ Ada syurga Allah
yang tidak ada mahligai dan taman-taman atau sungai madu dan susu, syurga yang
di dalamnya seseorang hanya menyaksikan Wajah Allah Yang Maha Suci” . Allah s.w.t berfirman: “Beberapa muka pada hari itu
berseri-seri. Kepada Tuhannya dia memandang”. (Surah Qiamat, ayat 22 & 23).
Pada
suasana atau makam tersebut jika seseorang makhluk termasuklah malaikat
mendekatinya kewujudan badannya akan terbakar menjadi abu. Allah s.w.t
berfirman melalui rasul-Nya:
“Jika Aku bukakan penutup sifat keperkasaan-Ku dengan bukaan yang sangat
sedikit sahaja, semua akan terbakar sejauh yang dilihat oleh pandangan-Ku”.
Jibrail
yang menemani Nabi Muhamamd s.a.w pada malam mikraj, apabila sampai di Sidratul
Muntaha, telah mengatakan jika dia melangkah satu langkah sahaja lagi dia akan
terbakar menjadi abu.