2: PENGENALAN
Segala puji dan puja untuk Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang . Dia yang mengumpul segala pengetahuan di dalam Zat-Nya dan Dia jualah
Pencipta segala pengetahuan dengan keabadian. Segala kewujudan
bersumberkan Wujud-Nya. Segala puji bagi Allah lantaran Dia menghantarkan
Quran yang mulia yang mengandungi di dalamnya sebab-sebab ia diturunkan iaitu
untuk memperingatkan manusia tentang Allah. Dihantarkan-Nya kepada pembimbing
yang memandu manusia pada jalan yang benar dengan yang paling Perkasa di antara
agama-agama. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang tidak diajar
oleh makhluk tetapi diajar oleh-Nya sendiri. Baginda s.a.w adalah nabi-Nya yang
terakhir, penyambung terakhir pada rantaian kenabian yang diutus kepada dunia
yang sedang hanyut di dalam huru hara, yang paling mulia di kalangan
nabi-nabi-Nya, dimuliakan dengan kitab suci yang paling suci dan paling mulia.
Keturunan baginda s.a.w adalah pembimbing bagi orang-orang yang mencari.
Sahabat-sahabat baginda s.a.w adalah pilihan dari kalangan orang yang baik-baik
dan murah hati. Semoga kesejahteraan dan keberkatan yang melimpah-limpah
dikurniakan kepada ruh-ruh mereka.
Tentu sekali yang paling berharga di
antara yang berharga, paling tinggi, permata yang tidak ternilai, barang
perniagaan yang paling menguntungkan manusia, adalah ilmu pengetahuan. Hanya
dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mencapai keesaan Allah, Tuhan sekalian
alam. Hanya dengan hikmah kebijaksanaan kita boleh mengikuti rasul-rasul-Nya
dan nabi-nabi-Nya. Orang yang berpengetahuan, yang bijaksana, adalah
hamba-hamba Allah yang tulen yang Dia pilih untuk menerima perutusan Ilahi. Dia
lebihkan mereka daripada yang lain semata-mata dengan kebaikan rahmat-Nya yang
Dia curahkan kepada mereka. Mereka adalah pewaris nabi-nabi, pembantu-pembantu
mereka, yang dipilih oleh rasul-rasul-Nya untuk menjadi khalifah kepada
sekalian manusia. Mereka berhubungan dengan nabi-nabi dengan perasaan yang amat
seni dan kebijaksanaan yang sangat tinggi.
Allah Yang Maha Tinggi
memuji orang-orang yang memiliki hikmah kebijaksanaan:
“Kemudian Kami wariskan Kitab itu kepada mereka yang Kami pilih daripada
hamba-hamba Kami, tetapi sebahagian daripada mereka menganiayai diri mereka
sendiri, dan sebahagian daripada mereka cermat, dan sebahagian daripada mereka
ke hadapan dalam kebajikan-kebajikan dengan izin Allah, yang demikian adalah
kurniaan yang besar”. ( Surah Fatir, ayat 32).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Pemegang hikmah kebijaksanaan
adalah pewaris nabi-nabi. Penduduk langit mengasihi mereka dan di atas muka
bumi ini ikan-ikan di laut bertasbih untuk mereka hingga kepada hari kiamat”.
Dalam ayat lain Allah
Yang Maha Tinggi berfirman:
“Tidak takut kepada Allah daripada hamba-hamba-Nya melainkan orang-orang
yang berilmu Pengetahuan” (Surah Fatir, ayat 28).
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Pada hari pembalasan, Allah akan
mengumpulkan sekalian manusia, kemudian mengasingkan yang berilmu di antara
mereka dan berkata kepada mereka: ‘Wahai orang-orang yang berilmu. Aku
kurniakan kepada kamu ilmu-Ku kerana Aku mengenali kamu. Tidak aku kurniakan
hikmah kebijaksanaan kepada kamu untuk Aku hukumkan kamu pada hari ini.
Masuklah ke dalam syurga-syurga-Ku. Aku telah ampunkan kamu' ”.
Segala puji milik Allah, Tuhan sekalian alam lantaran Dia kurniakan makam
yang tinggi kepada hamba-hamba-Nya yang taat dan memelihara mereka daripada
dosa dan menyelamatkan mereka daripada diseksa. Dia berkati ahlul hikmah dengan
menghampiri mereka.
Sebahagian daripada murid-murid kami meminta supaya kami sediakan sebuah
buku yang memadai buat mereka. Sesuai dengan permintaan dan keperluan mereka
kami siapkan buku yang ringkas ini Semoga ia dapat mengubati dan memuaskan
mereka serta yang lain juga. Kami namakan buku ini “ Sirr al-asrar fi
ma yahtaju Ilahi al-abrar ” atau “rahasia dalam rahasia-rahasia yang
Kebenarannya sangat diperlukan”. Dalam pekerjaan ini kenyataan di dalam
kepercayaan dan perjalanan kami dibukakan. Setiap orang memerlukannya.
Dalam menyampaikan hasil kerja ini kami
bahagikannya kepada 24 bab kerana terdapat 24 huruf di dalam pengakuan suci “La
ilaha illah Llah, Muhammadun rasulu Llah” dan juga terdapat 24 jam
dalam satu hari.