7: ILMU
PENGETAHUAN DAN PERKEMBANGAN KEROHANIAN
Ilmu pengetahuan zahir
mengenai benda-benda yang nyata dibahagikan kepada dua belas bahagian dan ilmu
pengetahuan batin juga dibahagikan kepada dua belas bahagian. Bahagian-bahagian
tersebut dibahagikan di kalangan orang awam dan orang khusus, hamba-hamba Allah
yang sejati, menurut kadar keupayaan dan kebolehan mereka.
Bagi tujuan yang
berkaitan dengan kita pembicaraan ilmiah mengenai ini dibuat dalam empat
bahagian. Bahagian
pertama melibatkan peraturan agama ,
mengenai kewajipan dan larangan berhubung dengan perkara-perkara dan
peraturan-peraturan di dalam dunia ini. Kedua menyentuh soal pengertian atau
maksud dalaman serta tujuan kepada peraturan-peraturan tersebut dan bahagian
ini dinamakan bidang kerohanian yaitu pengetahuan mengenai perkara-perkara yang
tidak nyata. Ketiga mengenai hakikat kerohanian
yang tersembunyi yang dinamakan kearifan. Keempat mengenai hakikat dalaman kepada
hakikat yaitu mengenai kebenaran yang sebenar-benarnya. Manusia yang sempurna
perlu mempelajari semua bidang atau bahagian tersebut dan mencari jalan ke
arahnya.
Nabi s.a.w bersabda, “Agama ialah pokok, kerohanian
adalah dahannya, kearifan (makrifat) adalah daunnya, kebenaran (hakikat) adalah
buahnya. Quran dengan ulasannya, keterangannya, terjemahannya dan
ibarat-ibaratnya mengandungi semuanya itu” . Di dalam buku al-Najma
perkataan-perkataan tafsir, ulasan dan takwil serta terjemahan melalui ibarat
dimengertikan sebagai: ulasan terhadap Quran adalah keterangan dan perincian
bagi faedah kefahaman orang awam, sementara terjemahan melalui ibarat adalah
keterangan tentang maksud yang tersirat yang boleh diselami melalui tafakur
yang mendalam serta memperolehi ilham sebagaimana yang dialami oleh orang-orang
beriman yang sejati. Terjemahan yang demikian adalah untuk hamba-hamba Allah
yang khusus lagi teguh, berterusan di dalam suasana kerohanian mereka dan teguh
dengan pengetahuan yang membolehkan mereka membuat pertimbangan yang benar.
Kaki mereka teguh berpijak di atas bumi sementara hati dan fikiran mereka
menjulang kepada ilmu ketuhanan. Dengan rahmat Allah keadaan berterusan begini
yang tidak bercampur dengan keraguan di tempatkan di tengah-tengah hati mereka.
Hati yang teguh dalam suasana ini bersesuaian dengan bahagian kalimah tauhid “La ilaha illa Llah” , pengakuan terakhir
keesaan.
“Dia jualah yang
menurunkan Kitab kepada kamu. Sebahagiannya adalah ayat-ayat yang menghukum,
yaitu ibu-ibu bagi Kitab, dan (sebahagian) yang lain adalah ayat-ayat yang
perlukan takwil. Adapun orang-orang yang di hati mereka ada kesesatan
mencari-cari apa yang ditakwil daripadanya kerana hendak membuat fitnah dan
kerana hendak membuat takwilnya sendiri padahal tidak mengetahui takwilnya
melainkan Allah dan orang-orang yang teguh kuat di dalam ilmu berkata, ‘Kami
beriman kepadanya (kerana) semua itu daripada Tuhan kami', dan tidak mengerti
melainkan orang-orang yang mempunyai fikiran”. (Surah Imraan, ayat 7)
Jika pintu kepada ayat
ini terbuka akan terbuka juga semua pintu-pintu kepada alam rahasia batin.
Hamba Allah yang sejati
berkewajipan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan menjauhkan diri daripada
larangan-Nya. Dia juga perlu menentang ego dirinya dan membendung kecenderungan
jasad yang tidak sehat. Asas penentangan ego terhadap agama adalah dalam bentuk
khayalan dan gambaran yang bercanggah dengan kenyataan. Pada peringkat
kerohanian ego yang khianat itu menggalakkan seseorang supaya memperakui dan
mengikuti sebab-sebab dan rangsangan yang hanya hampir dengan kebenaran (bukan
kebenaran yang sejati), walaupun ianya risalat nabi dan fatwa wali yang telah
diubah, juga mengikuti guru yang pendapatnya salah. Pada peringkat makrifat ego
cuba menggalakkan seseorang supaya memperakui kewalian dirinya sendiri malah
ego juga mengheret seseorang kepada mengakui ketuhanannya – dosa paling besar
menganggapkan diri sendiri sebagai bersekutu dengan Allah. Allah berfirman: “Tidakkah engkau perhatikan
orang yang mengambil hawa nafsunya sebagai tuhan..” (Surah Furqaan, ayat 43).
Tetapi peringkat
kebenaran sejati adalah berbeda. Ego dan iblis tidak boleh sampai ke sana .
Malah malaikat juga tidak sampai ke sana . Sesiapa sahaja kecuali Allah jika
sampai ke sana pasti terbakar. Jibrail berkata kepada Nabi Muhamamd s.a.w pada
sempadan peringkat ini, “Jika aku mara satu langkah lagi aku akan terbakar
menjadi abu”.
Hamba Allah yang sejati
bebas daripada perlawanan egonya dan iblis kerana dia dilindungi oleh perisai
keikhlasan dan kesucian.
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82 & 83).
“Ia (iblis) berkata: Oleh itu demi kemuliaan-Mu, aku akan sesatkan mereka semuanya, kecuali di antara mereka hamba-hamba-Mu yang dibersihkan” . (Surah Shad, ayat 82 & 83).
Manusia tidak dapat
mencapai hakikat kecuali dia suci murni kerana sifat-sifat keduniaannya tidak
akan meninggalkannya sehinggalah hakikat menyata dalam dirinya. Ini adalah
keikhlasan sejati. Kejahilannya hanya akan meninggalkannya bila dia menerima
pengetahuan tentang Zat Allah. Ini tidak dapat dicapai dengan pelajaran; hanya
Allah tanpa pengantaraan boleh mengajarnya. Bila Allah Yang Maha Tinggi sendiri
yang menjadi Guru, Dia kurniakan ilmu yang daripada-Nya sebagaimana Dia lakukan
kepada Khaidhir. Kemudian manusia dengan kesedaran yang diperolehinya sampai
kepada peringkat makrifat di mana dia mengenali Tuhannya dan menyembah-Nya yang
dia kenal.
Orang yang sampai kepada
suasana ini memiliki penyaksian roh suci dan dapat melihat kekasih Allah, Nabi
Muhamamd s.a.w. Dia boleh bercakap dengan baginda s.a.w mengenai segala perkara
daripada awal hingga ke akhirnya dan semua nabi-nabi yang lain memberikannya
khabar gembira tentang janji penyatuan dengan yang dikasihi. Allah
menggambarkan suasana ini:“Kerana Barangsiapa taat kepada Allah dan
rasul-Nya, maka mereka beserta orang-orang yang diberi nikmat daripada
nabi-nabi, siddiqin, syuhada dan salihin dan Alangkah baiknya mereka ini
sebagai sahabat rapat”. (Surah Nisaa' ,ayat 69).
Orang yang tidak boleh
menemui pengetahuan ini di dalam dirinya tidak akan menjadi arif walaupun dia
membaca seribu buah buku. Nikmat yang boleh diharapkan oleh orang yang
mempelajari ilmu zahir ialah syurga; di sana semua yang dapat dilihat adalah
kenyataan sifat-sifat Ilahi dalam bentuk cahaya. Tidak kira bagaimana sempurna
pengetahuannya tentang perkara nyata yang boleh dilihat dan dipercayai, ia
tidak membantu seseorang untuk masuk kepada suasana kesucian dan mulia, iaitu
kehampiran dengan Allah, kerana seseorang itu perlu terbang ke tempat tersebut
dan untuk terbang perlu kepada dua sayap. Hamba Allah yang sejati adalah yang
terbang ke sana dengan menggunakan dua sayap, iaitu pengetahuan zahir dan pengetahuan
batin, tidak pernah berhenti di tengah jalan, tidak tertarik dengan apa sahaja
yang ditemui dalam perjalanannya. Allah berfirman melalui rasul-Nya: “Hamba-Ku, jika kamu ingin
masuk kepada kesucian berhampiran dengan-Ku jangan pedulikan dunia ini ataupun
alam tinggi para malaikat, tidak juga yang lebih tinggi di mana kamu boleh
menerima sifat-sifat-Ku yang suci”.
Dunia kebendaan ini
menjadi godaan dan tipu daya syaitan kepada orang yang berilmu. Alam malaikat
menjadi rangsangan kepada orang yang bermakrifat dan suasana sifat-sifat Ilahi
menjadi godaan kepada orang yang memiliki kesedaran terhadap hakikat. Sesiapa
yang berpuas hati dengan salah satu daripada yang demikian akan terhalang
daripada kurniaan Allah yang membawanya hampir dengan Zat-Nya. Jika mereka
tertarik dengan godaan dan rangsangan tersebut mereka akan berhenti, mereka
tidak boleh maju ke hadapan, mereka tidak boleh terbang lebih tinggi. Walaupun
matlamat mereka adalah kehampiran dengan Pencipta mereka tidak lagi boleh
sampai ke sana . Mereka telah terpedaya, mereka hanya memiliki satu sayap.
Orang yang mencapai
kesedaran tentang hakikat yang sebenar, menerima rahmat dan kurniaan dari Allah
yang tidak pernah mata melihatnya dan tidak pernah telinga mendengarnya dan
tidak pernah hati mengetahui namanya. Inilah syurga kehampiran dan keakraban
dengan Allah. Di sana tidak ada mahligai permata juga tidak ada bidadari yang
cantik sebagai pasangan. Semoga manusia mengetahui nilai dirinya dan tidak
berkehendak, tidak menuntut apa yang tidak layak baginya. Saidina Ali r.a
berkata, “Semoga Allah merahmati orang yang mengetahui harga dirinya, yang tahu
menjaga diri agar berada di dalam sempadannya, yang memelihara lidahnya, yang
tidak menghabiskan masanya dan umurnya di dalam sia-sia”.
Orang yang berilmu
mestilah menyedari bahawa bayi roh yang lahir dalam hatinya adalah pengenalan
mengenai kemanusiaan yang sebenar, iaitu insan yang sejati. Dia patut mendidik
bayi hati, ajarkan keesaan melalui berterusan menyedari tentang keesaan –
tinggalkan keduniaan kebendaan ini yang berbilang-bilang, cari alam kerohanian,
alam rahsia di mana tiada yang lain kecuali Zat Allah. Dalam kenyataannya di
sana bukan tempat, ia tidak ada permulaan dan tidak ada penghujung. Bayi hati
terbang melepasi padang yang tiada berkesudahan itu, menyaksikan
perkara-perkara yang tidak pernah dilihat mata sebelumnya, tiada sesiapa
bercerita mengenainya, tiada sesiapa boleh menggambarkannya. Tempat yang
menjadi rumah kediaman bagi mereka yang meninggalkan diri mereka dan menemui
keesaan dengan Tuhan mereka, mereka yang memandang dengan pandangan yang sama
dengan Tuhan mereka, pandangan keesaan. Bila mereka menyaksikan keindahan dan
kemuliaan Tuhan mereka tidak ada apa lagi yang tinggal dengan mereka. Bila dia
melihat matahari dia tidak dapat melihat yang lain, dia juga tidak dapat
melihat dirinya sendiri. Bila keindahan dan kemurahan Allah menjadi nyata apa
lagi yang tinggal dengan seseorang? Tidak ada apa-apa!
Nabi s.a.w bersabda, “Seseorang perlu dilahirkan dua
kali untuk sampai kepada alam malaikat”. Ia adalah kelahiran
maksud daripada perbuatan dan kelahiran rohani daripada jasad. Kemungkinan yang
demikian ada dengan manusia. Ini adalah keanehan rahsia manusia. Ia lahir
daripada percampuran pengetahuan tentang agama dan kesedaran terhadap hakikat,
sebagaimana bayi lahir hasil daripada percampuran dua titik air.
“Sesungguhnya
Kami telah jadikan manusia daripada setitik (mani) yang bergiliran, yang Kami
berikan percubaan kepada mereka, iaitu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”.
(Surah Insaan, ayat 2).
Bila maksud menjadi
nyata dalam kewujudan ia menjadi mudah untuk melepasi bahagian yang cetek dan
masuk ke dalam laut penciptaan dan membenamkan dirinya ke dasar hukum-hukum
peraturan Allah. Sekalian alam kebendaan ini hanyalah satu titik jika
dibandingkan dengan alam kerohanian. Hanya bila semua ini difahamkan maka kuasa
kerohanian dan cahaya keajaiban yang bersifat ketuhanan, hakikat yang
sebenar-benarnya, memancar ke dalam dunia tanpa perkataan tanpa suara.