8: TAUBAT DAN
PENGAJARAN MELALUI PERKATAAN
Tahap-tahap dan
peringkat-peringkat perubahan kerohanian telah pun disebut. Perlu ditegaskan
bahawa setiap peringkat dicapai terutamanya dengan taubat. Bolehlah dipelajari
cara bertaubat dengan orang yang mengetahui cara berbuat demikian dan yang
telah sendirinya bertaubat. Taubat yang sebenar dan menyeluruh merupakan
langkah pertama di dalam perjalanan. “(Ingatlah)
tatkala orang-orang kafir itu adakan dalam hati mereka kesombongan (iaitu)
kesombongan jahiliah. Lalu Allah turunkan ketenteraman atas rasul-Nya dan atas
mukmin. Dan Dia wajibkan mereka (ucapkan) perkataan menjaga keselamatan
(taubat) kerana mereka lebih berhak dengan itu, dan memang (mereka) ahlinya,
dan adalah Allah mengetahui tiap sesuatu”. (Surah Fath, ayat 26).
Keadaan takutkan Allah
mempunyai maksud yang sama dengan kalimah “ La
ilaha illa Llah” – tiada Tuhan, tiada apa-apa, kecuali Allah. Bagi orang yang
mengetahui ini akan adaperasaan takut kehilangan-Nya, kehilangan
perhatian-Nya, cinta-Nya, keampunan-Nya; dia takut dan malu melakukan kesalahan
sedangkan Dia melihat, dan takutkan azab-Nya. Jika seseorang itu tidak
berkeadaan demikian dia perlu mendapatkaan orang yang takutkan Allah dan
menerima keadaan takutkan Allah itu daripada orang berkenaan.
Sumber dari mana perkataan
itu diterima mestilah bersih dan suci daripada segala-galanya kecuali Allah,
dan sesiapa yang menerimanya mestilah ada kebolehan untuk membezakan antara
perkataan orang yang suci hatinya dengan perkataan orang awam. Penerimanya
mestilah sedar cara perkataan itu diucapkan, kerana perkataan yang bunyinya
sama mungkin mempunyai maksud yang jauh berbeza. Tidak mungkin perkataan yang
datangnya daripada sumber yang asli sama dengan perkataan yang datangnya
daripada sumber lain.
Hatinya menjadi hidup
bila dia menerima benih tauhid daripada hati yang hidup kerana benih yang
demikian sangat subur, itulah benih kehidupan. Tidak ada yang tumbuh daripada
benih yang kering lagi tiada kehidupan. Kalimah suci “La ilaha illa Llah”
disebut dua kali di dalam Quran menjadi bukti. “(Kerana) apabila dikata kepada
mereka “Tiada Tuhan melainkan Allah” mereka menyombong. Dan mereka berkata,
‘Apakah kami mesti tinggalkan tuhan-tuhan kami buat (mengikut) seorang ahli
syair dan gila?” (Surah Shaaffaat. Ayat 35 & 36).
Ini adalah keadaan
orang awam yang baginya rupa luar termasuk kewujudan zahirnya adalah
tuhan-tuhan. “Oleh itu
Ketahuilah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah. Dan mintalah perlindungan
bagi buah amal kamu, dan bagi mukmin dan mukminat, dan Allah mengetahui tempat
usaha kamu (di siang hari) dan tempat kembali kamu (pada malam hari)”. (Surah
Muhammad, ayat 19).
Firman Allah ini
menjadi panduan kepada orang-orang beriman yang tulen yang takutkan Allah.
Saidina Ali r.a meminta
Rasulullah s.a.w mengajarkan kepadanya cara yang mudah, paling bernilai, paling
cepat kepada keselamatan. Baginda s.a.w menanti Jibrail memberikan jawapannya
daripada sumber Ilahi. Jibrail datang dan mengajarkan baginda s.a.w mengucapkan
“La ilaha” sambil memusingkan mukanya yang diberkati ke kanan, dan mengucapkan
“illa Llah” sambil memusingkan mukanya ke kiri, ke arah hati sucinya yang
diberkati. Jibrail mengulanginya tiga kali; Nabi s.a.w mengulanginya tiga kali
dan mengajarkan yang demikian kepada Saidina Ali r.a dengan mengulanginya tiga
kali juga. Kemudian baginda s.a.w mengajarkan yang demikian kepada
sahabat-sahabat baginda. Saidina Ali r.a merupakan orang yang pertama bertanya
dan menjadi orang yang pertama diajarkan.
Kemudian satu hari
selepas kembali daripada peperangan, Nabi s.a.w berkata kepada
pengikut-pengikut baginda, “Kita
baharu kembali daripada peperangan yang kecil untuk menghadapi peperangan yang
besar” .
Baginda s.a.w merujukkan kepada perjuangan dengan ego diri sendiri, keinginan
yang rendah yang menjadi musuh kepada penyaksian kalimah tauhid. Baginda s.a.w
bersabda, “Musuh kamu yang
paling besar ada di bawah rusuk kamu ”.
Cinta Ilahi tidak akan
hidup sehinggalah musuhnya, hawa nafsu badaniah kamu, mati dan meninggalkan
kamu.
Mula-mulanya kamu mesti
bebas daripada ego kamu yang mengheret kamu kepada kejahatan. Kemudian kamu
akan mula memiliki suara hati yang belum penuh, walaupun kamu masih belum bebas
sepenuhnya daripada dosa. Kamu akan memiliki perasaan mengkritik diri sendiri –
tetapi ia belum mencukupi. Kamu mesti melepasi tahap tersebut kepada peringkat
di mana hakikat yang sebenarnya dibukakan kepada kamu, kebenaran tentang benar
dan salah. Kemudian kamu akan berhenti melakukan kesalahan dan akan hanya
melakukan kebaikan. Dengan demikian diri kamu akan menjadi bersih. Di dalam menentang
hawa nafsu dan tarikan badan kamu, kamu mestilah melawan nafsu kehaiwanan –
kerakusan, terlalu banyak tidur, pekerjaan yang sia-sia – dan menentang
sifat-sifat haiwan liar di dalam diri kamu – kekejian, marah, kasar dan
berkelahi. Kemudian kamu mesti usahakan membuang perangai-perangai ego yang
jahat, takabur, sombong, dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit tubuh dan
hati kamu. Cuma orang yang berbuat demikian yang benar-benar bertaubat dan
menjadi bersih, suci murni dan tulen.“Sesungguhnya Allah kasih kepada
orang yang bertaubat dan memelihara kesuciannya”. (Surah Baqarah, ayat 222).
Dalam melakukan taubat
seseorang itu mestilah mengambil perhatian supaya penyesalannya tidak
samar-samar dan tidak juga secara umum agar dia tidak jatuh ke dalam ancaman
Allah:“Tidak kira berapa banyak mereka bertaubat mereka tidak sebenarnya
menyesal. Taubat mereka tidak diterima”.
Ini ditujukan kepada
mereka yang hanya mengucapkan kata-kata taubat tetapi tidak tahu sejauh mana
dosa mereka, malah tidak mengambil tindakan pembaikan dan pencegahan. Itulah
taubat yang biasa, taubat zahir yang tidak menusuk kepada punca dosa. Ia adalah
umpama orang yang cuba menghapuskan rumput dengan memotong bahagian di atas
tanah tetapi tidak mencabut akarnya yang di dalam bumi. Tindakan yang demikian
membantu rumput untuk tumbuh dengan lebih segar. Orang yang bertaubat dengan
mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan itu berazam tidak mengulanginya dan
membebaskan dirinya daripada kesalahan itu, mencabut akar pokok yang merosakkan
itu. Cangkul yang digunakan untuk menggali akarnya, punca kepada dosa-dosa,
ialah pengajaran kerohanian daripada guru yang benar. Tanah mestilah
dibersihkan sebelum ditanam pokok orkid.
“Dan Kami
bawakan perumpamaan kepada manusia supaya mereka memikirkannya”. (Surah Hasyr,
ayat 21).
“Dia jualah
Penerima taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa, dan Dia mengetahui apa
yang kamu kerjakan”. (Surah Syura, ayat 25).
“Kecuali orang
yang bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah
tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana adalah Allah itu Pengampun,
Penyayang”. (Surah Furqaan, ayat 70).
Ketahuilah taubat yang
diterima tandanya ialah seseorang itu tidak lagi jatuh ke dalam dosa tersebut.
Ada dua jenis
taubat , taubat orang dan taubat mukmin sejati . Orang awam berharap
meninggalkan kejahatan dan masuk kepada kebaikan dengan cara mengingati Allah
dan mengambil langkah usaha bersungguh-sungguh, meninggalkan hawa nafsunya dan
kesenangan badannya dan menekankan egonya. Dia mesti meninggalkan keegoannya
yang ingkar terhadap peraturan Allah dan masuk kepada taat. Itulah taubatnya
yang menyelamatkannya dari neraka dan memasukkannya ke dalam syurga.
Orang mukmin sejati,
hamba Allah yang tulen, berada di dalam suasana yang jauh berbeza. Mereka
berada pada makam makrifat yang jauh lebih tinggi daripada makam orang awam
yang paling baik. Sebenarnya bagi mereka tidak ada lagi anak tangga untuk
dipanjat; mereka telah sampai kepada kehampiran dengan Allah. Mereka telah
meninggalkan kesenangan dan nikmat dunia ini dan menikmati kelazatan alam
kerohanian – rasa kehampiran dengan Allah, nikmat menyaksikan Zat-Nya dengan
mata keyakinan.
Perhatian orang awam
tertuju kepada dunia ini dan kesenangan mereka adalah merasai nikmat kebendaan
dan kewujudan kebendaannya. Malah, jika kewujudan kebendaan manusia dan dunia
merupakan satu kesilapan begitu jugalah nikmat dan kecacatan yang paling baik
daripadanya. Kata-kata yang diucapkan oleh orang arif, “Kewujudan dirimu merupakan
dosa, menyebabkan segala dosa menjadi kecil jika dibandingkan dengannya” . Orang arif selalu
mengatakan bahawa kebaikan yang dilakukan oleh orang baik-baik tidak mencapai
kehampiran dengan Allah tidak lebih daripada kesalahan orang yang hampir
dengan-Nya. Jadi, bagi mengajar kita memohon keampunan terhadap kesalahan yang
tersembunyi yang kita sangkakan kebaikan, Nabi s.a.w yang tidak pernah berdosa
memohon keampunan daripada Allah sebanyak seratus kali sehari. Allah Yang Maha
Tinggi mengajarkan kepada rasul-Nya:“Pintalah perlindungan bagi buah
amal kamu dan bagi mukmin dan mukminat”. (Surah Muhamamd, ayat 19).
Dia jadikan rasul-Nya
yang suci murni sebagai teladan tentang cara bertaubat – dengan merayu kepada
Allah supaya menghilangkan ego seseorang, sifat-sifatnya dan dirinya, semuanya
pada diri seseorang, mencabut kewujudan diri seseorang. Inilah taubat yang
sebenarnya.
Taubat yang demikian
meninggalkan segala-galanya kecuali Zat Allah, dan berazam untuk kembali
kepada-Nya, kembali kepada kehampiran-Nya untuk melihat Wajah Ilahi. Nabi s.a.w
menjelaskan taubat yang demikian dengan sabda baginda s.a.w, “ Ada sebahagian
hamba-hamba Allah yang tulen yang tubuh mereka berada di sini tetapi hati
mereka berada di sana , di bawah arasy”. Hati mereka berada pada langit
kesembilan, di bawah arasy Allah kerana penyaksian suci terhadap Zat-Nya tidak
mungkin berlaku pada alam bawah.
Di sini hanya kenyataan
atau penzahiran sifat-sifat suci-Nya yang dapat disaksikan, memancar ke atas
cermin yang bersih kepunyaan hati yang suci. Saidina Umar r.a berkata, “Hatiku
melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”. Hati yang suci adalah cermin di mana
keindahan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah memancar. Nama lain yang diberi
kepada suasana ini ialah pembukaan (kasyaf), menyaksikan sifat-sifat Ilahi yang
suci.
Bagi memperolehi
suasana tersebut, untuk membersihkan dan menyinarkan hati, perlulah kepada guru
yang matang, yang di dalam keesaan dengan Allah, yang disanjung dan dimuliakan
oleh semua, dahulu dan sekarang. Guru berkenaan mestilah telah sampai kepada
makam kehampiran dengan Allah dan dihantar balik ke alam rendah oleh Allah
untuk membimbing dan menyempurnakan mereka yang layak tetapi masih mempunyai
kecacatan.
Di dalam penurunan
mereka untuk melakukan tugas tersebut wali-wali Allah mestilah berjalan Sesuai
dengan sunnah Rasulullah s.a.w dengan mengikuti teladan baginda s.a.w, tetapi
tugas mereka berlainan dengan tugas rasul. Rasul diutuskan untuk menyelamatkan
orang ramai dan juga orang-orang yang beriman. Guru-guru tadi pula tidak
dihantar untuk mengajar semua orang tetapi hanyalah sebilangan yang dipilih
sahaja. Rasul-rasul diberi kebebasan dalam menjalankan tugas mereka, sementara
wali-wali yang mengambil tugas sebagai guru mesti mengikuti jalan rasul-rasul
dan nabi-nabi.
Guru kerohanian yang
mengaku diri mereka merdeka, menyamakan dirinya dengan nabi, jatuh kepada
kesesatan dan kekufuran. Bila Nabi s.a.w mengatakan sahabat-sahabat baginda
yang arif adalah umpama nabi-nabi Bani Israil, baginda memaksudkan lain
daripada ini – kerana nabi-nabi yang datang selepas Musa a.s semuanya mengikuti
prinsip agama yang dibawa oleh Musa a.s. Mereka tidak membawa peraturan baharu.
Mereka mengikuti undang-undang yang sama. Seperti mereka juga orang-orang arif
dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w yang bertugas membimbing sebahagian
daripada orang-orang suci yang dipilih, mengikuti kebijaksanaan Nabi s.a.w,
tetapi menyampaikan perintah dan larangan dengan cara baharu yang berbeza,
terbuka dan jelas, menunjukkan kepada murid-murid mereka dengan perbuatan yang
mereka kerjakan pada masa dan keadaan yang berlainan. Mereka memberi dorongan
kepada murid-murid mereka dengan menunjukkan kelebihan dan keindahan
prinsip-prinsip agama. Tujuan mereka ialah membantu pengikut-pengikut mereka
menyucikan hati yang menjadi tapak untuk membena tugu makrifat.
Dalam semua itu mereka
mengikut teladan daripada pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w yang terkenal
sebagai ‘golongan yang memakai baju bulu' yang telah meninggalkan semua
aktiviti keduniaan untuk berdiri di pintu Rasulullah s.a.w dan berada hampir
dengan baginda. Mereka menyampaikan khabar sebagaimana mereka menerimanya
secara langsung daripada mulut Rasulullah s.a.w. Dalam kehampiran mereka dengan
Rasulullah s.a.w mereka telah sampai kepada peringkat di mana mereka boleh
bercakap tentang rahsia israk dan mikraj Rasulullah s.a.w sebelum baginda
membuka rahsia tersebut kepada sahabat-sahabat baginda.
Wali-wali yang menjadi
guru memiliki kehampiran yang serupa dengan Nabi s.a.w dengan Tuhannya. Amanah
dan penjagaan terhadap ilmu ketuhanan yang serupa dianugerahkan kepada mereka.
Mereka merupakan Pemegang sebahagian daripada kenabian, dan diri batin
mereka selamat di bawah penjagaan Rasulullah s.a.w.
Tidak semua orang yang
memiliki ilmu berada di dalam keadaan tersebut. Mereka yang sampai ke situ adalah
yang lebih hampir kepada Rasulullah s.a.w daripada anak-anak dan keluarga
mereka sendiri dan mereka adalah umpama anak-anak kerohanian Rasulullah s.a.w
yang hubungannya lebih erat daripada hubungan darah. Mereka adalah pewaris
sebenar kepada Nabi s.a.w. Anak yang sejati memiliki zat dan rahsia bapanya
pada rupa zahirnya dan juga pada batinnya. Nabi s.a.w menjelaskan rahasia ini, “Ilmu khusus adalah umpama
khazanah rahasia yang hanya mereka yang mengenali Zat Allah boleh
mendapatkannya. Namun bila rahasia itu dibukakan orang yang mempunyai kesedaran
dan ikhlas tidak menafikannya”.
Ilmu tersebut
dimasukkan kepada Nabi s.a.w pada malam baginda s.a.w mikraj kepada Tuhannya.
Rahsia itu tersembunyi di dalam diri baginda di sebalik tiga ribu tabir hijab.
Baginda s.a.w tidak membuka rahsianya melainkan kepada sebahagian pengikut
baginda yang sangat hampir dengan baginda. Melalui penyebaran dan keberkatan
rahsia inilah Islam akan terus memerintah sehingga ke hari kiamat.
Pengetahuan batin
tentang yang tersembunyi membawa seseorang kepada rahsia tersebut. Sains,
kesenian dan kemahiran keduniaan adalah umpama kerangka kepada pengetahuan
batin. Mereka yang memiliki pengetahuan kerangka itu bolehlah mengharapkan satu
hari nanti mereka diberi kesempatan untuk memiliki apa yang di dalam kerangka.
Sebahagian daripada mereka yang berilmu memiliki apa yang patut dimiliki oleh
seorang manusia secara umumnya sementara sebahagian yang lain menjadi ahli dan
memelihara ilmu tersebut daripada hilang. Ada golongan yang menyeru kepada
Allah dengan nasihat yang baik. Sebahagian daripada mereka mengikuti sunnah
Nabi s.a.w dan dipimpin oleh Saidina Ali r.a. yang menjadi pintu kepada gedung
ilmu yang melaluinya masuklah mereka yang menerima undangan dari Allah. “Serulah ke jalan Tuhanmu
dengan bijaksana dan nasihat dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik”
. (Surah Nahl, ayat 125).
Maksud dan perkataan
mereka adalah sama. Perbezaan pada zahirnya hanyalah pada perkara-perkara
terperinci dan cara pelaksanaannya.
Sebenarnya ada tiga
makna yang kelihatan sebagai tiga jenis ilmu yang berbeza – dilakukan secara
berbeza, tetapi menjurus kepada yang satu Sesuai dengan sunnah Rasulullah
s.a.w. Ilmu dibahagikan kepada tiga yang tidak ada seorang manusia boleh
menanggung keseluruhan beban ilmu itu juga tidak berupaya mengamalkan dengan
sekaliannya.
Bahagian pertama ayat
di atas “Serulah ke jalan
Tuhanmu dengan bijaksana (hikmah)” ,
Sesuai dengan makrifat, zat dan permulaan kepada segala sesuatu, pemiliknya
mestilah sebagaimana Nabi s.a.w beramal Sesuai dengannya. Ia hanya dikurniakan
kepada lelaki sejati yang berani, tentera kerohanian yang akan mempertahankan
kedudukannya dan menyelamatkan ilmu tersebut. Nabi s.a.w bersabda, “Kekuatan semangat lelaki
sejati mampu menggoncang gunung” .
Gunung di sini menunjukkan keberatan hati sesetengah manusia. Doa lelaki sejati
yang menjadi tentera kerohanian dimakbulkan. Bila mereka menciptakan sesuatu ia
berlaku, bila mereka mahukan sesuatu hilang maka ia pun hilang. “Dia kurniakan hikmah kepada
sesiapa yang Dia kehendaki, dan Barangsiapa dikurniakan hikmah maka
sesungguhnya dia telah diberi kebajikan yang banyak”. (Surah Baqarah, ayat
269).
Jenis kedua ialah ilmu
zahir yang disebut Quran sebagai “seruan yang baik”. Ia menjadi kulit kepada
hikmah kebijaksanaan rohani. Mereka yang memilikinya menyeru kepada kebaikan,
mengajar manusia berbuat baik dan meninggalkan larangan-Nya. Nabi s.a.w memuji
mereka. Orang yang berilmu menyeru dengan lemah lembut dan baik hati, sementara
yang jahil menyeru dengan kasar dan kemarahan.
Jenis ketiga ialah ilmu
yang menyentuh kehidupan manusia di dalam dunia. Ia disebut sebagai ilmu agama
(syariat) yang menjadi sarang kepada hikmah kebijaksanaan (makrifat). Ia adalah
ilmu yang diperuntukkan kepada mereka yang menjadi pemerintah manusia;
menjalankan keadilan ke atas sesama manusia; pentadbiran manusia ke atas sesama
manusia. Bahagian terakhir ayat Quran yang di atas tadi menceritakan tugas
mereka “dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”. Mereka
ini menjadi kenyataan kepada sifat Allah “al-Qahhar” Yang Maha Keras. Mereka
berkewajipan menjaga peraturan di kalangan manusia selaras dengan hukum Tuhan,
seumpama sabut melindungi tempurung dan tempurung melindungi isi.
Nabi s.a.w
menasihatkan, “Biasakan
dirimu berada di dalam majlis orang-orang arif, taatlah kepada pemimpin kamu
yang adil. Allah Yang Maha Tinggi menghidupkan hati dengan hikmah seperti Dia
jadikan bumi yang mati hidup dengan tumbuh-tumbuhan dengan menurunkan hujan” . Baginda s.a.w juga bersabda , “Hikmah adalah harta
yang hilang bagi orang yang beriman, dikutipnya di mana sahaja ditemuinya”.
Malah perkataan yang
diucapkan oleh manusia biasa datangnya daripada Loh Terpelihara menurut hukum
Allah terhadap segala perkara daripada awal hingga akhir. Loh itu disimpan pada
alam tinggi pada akal asbab tetapi perkataan diucapkan menurut makam seseorang.
Perkataan mereka yang telah mencapai makam makrifat adalah secara langsung
daripada alam tersebut, makam kehampiran dengan Allah. Di sana tidak ada perantaraan.
Ketahuilah bahawa semua
akan kembali kepada asal mereka. Hati, zat, mesti dikejutkan; jadikan ianya
hidup untuk mencari jalan kembali kepada asalnya yang suci murni. Ia mesti
mendengar seruan. Seseorang mesti mencari orang yang orang yang daripadanya
seruan itu muncul, melaluinya zahir seruan. Itulah guru yang sebenar. Ini
merupakan kewajipan bagi kita. Nabi s.a.w bersabda, “Menuntut ilmu wajib bagi
setiap orang Islam lelaki dan perempuan”. Ilmu tersebut merupakan peringkat
terakhir semua ilmu, itulah ilmu makrifat, ilmu yang akan membimbing seseorang
kepada asalnya, yang sebenar (hakikat). Ilmu yang lain perlu menurut sekadar
mana keperluannya. Allah menyukai mereka yang meninggalkan cita-cita dan
angan-angan kepada dunia, kemuliaan dan kebesarannya, kerana kepentingan
duniawi ini menghalang seseorang kepada Allah. “Katakanlah: “Aku tidak meminta
kepadamu upah atas (menyampaikan)nya, kecuali percintaan (kepadaku) lantaran
kerabat”. (Surah Syura, ayat 23).
Ditafsirkan maksud
perkataan “apa yang hampir dengan kamu” ialah datang hampir dengan kebenaran.