9: KEROHANIAN ISLAM DAN AHLI SUFI
Sufi adalah perkataan Arab – saf, yang
bererti tulen. Alam batin sufi dipersucikan, menjadi tulen dan diterangi oleh
cahaya makrifat, penyatuan dan keesaan.
Istilah sufi dikaitkan juga dengan bidang
kerohanian mereka yang sentiasa berhubung dengan sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w yang dikenali sebagai ‘puak yang memakai baju bulu'. Saf, pakaian
bulu yang kasar menggambarkan keadaan mereka yang miskin lagi hina. Kehidupan dunia
di dalam kesempatan. Mereka berjimat cermat di dalam makanan, minuman dan
lain-lain.Dalam buku ‘al-Majm' ada
dikatakan, “Apa yang
terjadi kepada ahli suluk yang suci ialah pakaian dan kehidupan mereka sangat
sederhana dan hina”. Walaupun
mereka kelihatan tidak menarik secara keduniaan tetapi hikmah kebijaksanaan
(makrifat) mereka ternyata pada sifat mereka yang lemah lembut dan halus, yang
menjadikan mereka menarik kepada sesiapa yang mengenali mereka. Mereka menjadi
contoh kepada alam manusia. Mereka berpandukan ilmu Ilahi. Pada pandangan Tuhan
mereka berada pada martabat pertama kemanusiaan. Dalam pandangan mereka yang
mencari Tuhan puak sufi ini kelihatan cantik walaupun pada zahirnya buruk.
Mereka mesti dikenali dan berupaya mengenali, dan mereka dengan mesti dengan
cara itu iaitu satu dan semua, kerana mereka semua berada pada makam keesaan
dan mesti nyata sebagai satu.
Dalam bahasa Arab perkataan tasawwuf, kerohanian
Islam, terdiri daripada empat
huruf – ‘ta', ‘sin', ‘wau' dan ‘pa' (t,s,w,f). Huruf pertama, t, bermaksud
taubat . Ini adalah langkah pertama
perlu diambil pada jalan ini. Ia adalah seolah-olah dua langkah, satu zahir dan
satu batin . Taubat zahir dalam perkataan,
perbuatan dan perasaan, menjaga kehidupan agar bebas daripada dosa dan kesalahan
dan cenderung untuk berbuat kebaikan dan ketaatan; meninggalkan keingkaran dan
penentangan, mencari kesejahteraan dan kedamaian . Taubat batin dilakukan oleh hati.
Penyucian hati daripada hawa nafsu duniawi yang huru hara dan hati bulat
berazam mahu mencapai alam ketuhanan. Taubat – mengawasi kesalahan dan
meninggalkannya, menyedari kebenaran dan berjuang ke arahnya – membawa
seseorang kepada langkah kedua.
Langkah kedua ialah keadaan aman dan
sejahtera, safa . Huruf ‘s' adalah simbolnya . Dalam peringkat ini
juga ada dua langkah perlu diambil. Pertama
ialah ke arah kesucian di dalam hati dan kedua pula ke arah pusat hati. Hati yang tenang datang
daripada hati yang bebas daripada kesusahan, keresahan yang disebabkan oleh
masalah semua kebendaan ini, masalah makan, minum, tidur, perkataan yang
sia-sia. Dunia ini seumpama tenaga tarikan bumi, menarik hati ke bawah, dan
untuk membebaskan hati daripada masalah tersebut menyebabkan berlaku tekankan
kepada hati. Di sana ada pula ikatan-ikatan – hawa nafsu dan kehendak,
pemilikan, kasihkan keluarga dan anak-anak – yang mengikat hati seni kepada
bumi dan menghalangnya terbang tinggi.
Cara membebaskan hati, bagi menyucikannya, adalah
dengan mengingati Allah. Pada permulaan ingatkan ini berlaku secara luaran, dengan
mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutnya kuat-kuat sehingga kamu dan orang lain
boleh mendengarnya. Apabila ingatkan kepada-Nya sudah berterusan ingatkan
tersebut masuk ke dalam hati dan berlaku di dalam senyap. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang mukmin itu
ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, takutlah hati-hati mereka, dan
apabila dibacakan ayat-ayat Allah menambahkan lagi keimanan mereka, dan kepada
Tuhan merekalah mereka kembali” . (Surah Anfaal, ayat 2).
Takutkan Allah dalam ayat tersebut bermaksud takut
dan harap, hormat dan kasihkan Allah. Dengan ingatan dan ucapan nama-nama Allah
hati menjadi jaga dari ketiduran dan kelalaian, menjadi suci bersih dan
bersinar. Kemudian bentuk dan rupa dari alam ghaib menyata di dalam hati. Nabi
s.a.w bersabda, “Ahli ilmu
zahir mendatangi dan menerkam sesuatu dengan akal fikirannya sementara ahli
ilmu batin sibuk membersihkan dan menggilap hati mereka”.
Kesejahteraan pada pusat rahsia bagi hati
diperolehi dengan membersihkan hati daripada segala sesuatu dan menyediakannya
untuk menerima Zat Allah semata-mata yang memenuhi ruang hati apabila hati
sudah diperindahkan dengan kecintaan Allah. Alat pembersihannya ialah
berterusan mengingati dan menyebut di dalam hati, dengan lidah rahsia akan
kalimah tauhid “La ilaha
illa Llah”. Bila hati dan pusat hati berada dalam suasana tenang dan damai maka
peringkat kedua yang disimbolkan sebagai huruf ‘s' selesai.
Huruf ketiga ‘w' bermaksud wilayah, suasana
kesucian dan keaslian pencinta-pencinta Allah dan sahabat-sahabat-Nya . Keadaan ini bergantung kepada kesucian batin. Allah
menggambarkan sahabat-sahabat-Nya dengan firman-Nya: “Ketahuilah, sesungguhnya
pembantu-pembantu Allah tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak mereka
berdukacita. Bagi merekalah kegembiraan di penghidupan dunia dan akhirat…”.
(Surah Yunus, ayat 62 – 64).
Seseorang yang di dalam kesucian menyedari
sepenuhnya tentang Allah, mencintai-Nya fan berhubungan dengan-Nya. Hasilnya
dia diperelokkan dengan peribadi, akhlak dan perangai yang terbaik. Ini merupakan
hadiah suci yang dikurniakan kepada mereka. Nabi s.a.w bersabda, “Perhatikanlah akhlak yang
mulia dan berbuatlah sesuai dengannya” . Dalam peringkat ini
orang yang di dalam kesedaran tersebut meninggalkan sifat-sifat keduniaannya
yang sementara dan kelihatanlah dia diliputi oleh sifat-sifat Ilahi yang suci.
Dalam hadis Qudsi Allah berfirman: “Bila
Aku kasihkan hamba-Ku, Aku menjadi pendengarannya, penglihatannya,
percakapannya, pemegangnya dan perjalanannya”.
Keluarkan segala-galanya dari hati kamu dan
biarkan Allah sahaja yang berada di sana . “Dan
katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap kepalsuan kerana
sesungguhnya kepalsuan itu akan lenyap”. (Surah Bani Israil, ayat 81).
Bila kebenaran telah datang dan kepalsuan telah
lenyap maka selesailah peringkat wilayah.
Huruf keempat ‘f' bermakna fana, lenyap
diri sendiri ke dalam ketiadaan. Diri yang palsu akan hancur dan hilang apabila
sifat-sifat yang suci memasuki seseorang, dan apabila sifat-sifat serta
keperibadian yang banyak menghalang tempatnya akan diganti oleh satu sahaja
sifat keesaan.
Dalam kenyataan hakikat sentiasa hadir. Ia tidak
hilang dan tidak juga berkurangan. Apa yang berlaku adalah orang yang beriman
menyedari dan menjadi satu dengan yang menciptakannya. Dalam suasana berada dengan-Nya
orang yang beriman memperolehi kurniaan-Nya; manusia yang sementara menemui
kewujudan yang sebenar dengan menyedari rahsia abadi. “Semua akan binasa kecuali
Wajah-Nya”. (Surah Qasas, ayat 88).
Cara untuk menyedari hakikat ini ialah melalui
anugerah-Nya, dengan kehendak-Nya. Bila kamu berbuat kebaikan semata-mata
kerana-Nya dan bersesuaian dengan kehendak-Nya kamu akan menjadi hampir dengan
hakikat-Nya, Zat-Nya. Kemudian semua akan lenyap kecuali Yang Esa yang meredai
dan yang Dia diredai, bersatu. Perbuatan baik adalah ibu yang melahirkan bayi
kebenaran; kehidupan dalam kesedaran bagi manusia yang sebenar-benarnya.
“Perkataan yang baik dan perbuatan yang
baik naik kepada Allah” . (Surah Fatir, ayat 10).
Jika seseorang berbuat sesuatu dan jika kewujudannya
bukan untuk Allah sahaja maka dia mengadakan sekutu bagi Allah, dia meletakkan
yang lain pada tempat Allah – dosa yang tidak diampunkan yang akan
memusnahkannya, lambat atau cepat. Tetapi bila diri dan kepentingan diri fana
seseorang itu mencapai peringkat bersatu dengan Allah. Allah menggambarkan
makam tersebut: “Sesungguhnya
orang-orang yang berbakti (adalah) dalam kebun-kebun dan (dekat) sungai-sungai.
Di tempat duduk kebenaran, di sisi Raja Agung yang sangat berkuasa”. (Surah
Qamar, ayat 54 & 55).
Tempat itu ialah tempat bagi hakikat yang penting,
hakikat kepada hakikat-hakikat, tempat penyatuan dan keesaan. Ia adalah tempat
yang disediakan untuk nabi-nabi, untuk mereka yang dikasihi oleh Allah, untuk
para sahabat-Nya. Allah beserta orang-orang yang benar. Bila kewujudan bersatu
dengan wujud yang abadi ia tidak boleh dipandang sebagai kewujudan yang
terpisah. Bila semua ikatan keduniaan ditanggalkan dan seseorang itu dalam
suasana kesatuan dengan Allah, dengan kebenaran (hakikat) Ilahi, dia menerima
kesucian yang abadi, tidak akan tercemar lagi, dan masuk ke dalam golongan: “Mereka itu ahli syurga yang
kekal di dalamnya”. (Surah A'raaf, ayat 42).
Mereka adalah: “Orang-orang
yang beriman dan beramal salih” . (Surah A'raaf, ayat 42).
Bagaimanapun: “ Kami tidak memberatkan
satu diri melainkan sekadar kuasanya” . (Surah A'raaf, ayat 42).
Tetapi seseorang memerlukan kesabaran yang kuat: “Dan Allah beserta orang yang
sabar” . (Surah Anfaal, ayat 66).