5: PENURUNAN
MANUSIA KE PERINGKAT RENDAH YANG PALING BAWAH
Allah Yang Maha Tinggi menciptakan roh suci sebagai ciptaan
yang paling sempurna , yang
pertama diciptakan, di dalam alam kewujudan mutlak bagi Zat-Nya. Kemudian Dia
berkehendak menghantarkannya kepada alam rendah. Tujuan Dia berbuat demikian
ialah bagi mengajar roh suci mencari jalan kembali kepada yang sebenar di tahap
Maha Kuasa, mencari kedudukannya yang dahulu yang hampir dan akrab dengan
Allah. Dihantarkan-Nya
roh suci kepada perhentian utusan-utusan-Nya, wali-wali-Nya, kekasih-kekasih
dan sahabat-sahabat-Nya. Dalam perjalanannya, Allah menghantarkannya mula-mula
kepada kedudukan akal asbab bagi keesaan, bagi roh universal, alam nama-nama
dan sifat-sifat Ilahi, alam hakikat kepada Muhammad s.a.w. Roh suci memiliki
dan membawa bersama-samanya benih kesatuan. Apabila melalui alam ini ia
dipakaikan cahaya suci dan dinamakan ‘roh sultan'. Apaabila melalui alam
malaikat yang menjadi perantaraan kepada mimpi-mimpi, ia mendapat nama ‘roh
perpindahan'. Bila akhirnya ia turun kepada dunia kebendaan ini ia dibaluti
dengan daging yang Allah ciptakan untuk kesesuaian makhluk-Nya. Ia dibaluti oleh
jirim yang kasar bagi menyelamatkan dunia ini kerana dunia kebendaan jika
berhubung secara langsung dengan roh suci maka dunia kebendaan akan terbakar
menjadi abu. Dalam hubungannya dengan dunia ini ia dikenali sebagai kehidupan,
roh manusia.
Tujuan
roh suci dihantar ke tempat ciptaan yang paling rendah ini ialah supaya ia
mencari jalan kembali kepada kedudukannya yang asal, makam kehampiran, ketika
ia masih di dalam bentuk berdaging dan bertulang ini. Ia sepatutnya datang ke
alam benda yang kasar ini, dan dengan melalui hatinya yang berada di dalam
mayat ini, menanamkan benih kesatuan dan menunbuhkan pokok keesaan di dalam
dunia ini. Akar pokok masih berada pada tempat asalnya. Dahannya memenuhi ruang
kebahagiaan, dan di sana demi keredaan Allah, mengeluarkan buah kesatuan.
Kemudian di dalam bumi hati roh itu menanamkan benih agama dan bercita-cita
menumbuhkan pokok agama agar diperolehi buahnya, tiap satunya akan menaikkannya
kepada peringkat yang lebih hampir dengan Allah.
Allah
membuatkan jasad-jasad atau tubuh-tubuh untuk dimasuki oleh roh-roh dan bagi
roh-roh ini masing-masing mempunyai nama yang berbeza-beza. Dia bena ruang
penyesuaian di dalam tubuh. Diletakkan-Nya roh manusia, roh kehidupan di antara
daging dan darah. Diletakkan-Nya roh suci di tengah-tengah hati, di mana dibena
ruang bagi jirim yang sangat seni untuk menyimpan rahasia di antara Allah
dengan hamba-Nya. Roh-roh ini berada pada tempat yang berbeda-beda dalam tubuh,
dengan tugas yang berbeda, urusan yang berbeda, masing-masing umpama membeli
dan menjual barang yang berlainan, mendapat faedah yang berbeda. Perniagaan
mereka sentiasa membawakan kepada mereka banyak manfaat dalam bentuk nikmati
dan rahmat Allah. “Daripada
apa yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terang,
(mereka) mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi”. (Surah Fatir, ayat 29).
Layaklah
bagi setiap manusia mengetahui urusannya di dalam alam kewujudan dirinya
sendiri dan memahami tujuannya. Dia mestilah faham bahawa dia tidak boleh
meminda apa yang telah dihukumkan sebagai benar untuknya dan digantungkan
dilehernya. Bagi orang yang mahu meminda apa yang telah dihukumkan untuknya,
yang terikat dengan cita-cita dan dunia ini Allah berkata: “Tidaklah (mahu) dia ketahui
(bagaimana keadaan) apabila dibongkarkan apa-apa yang di dalam kubur? Dan
dizahirkan apa-apa yang di dalam dada?” (Surah ‘Aadiyat, ayat 9). “Dan
tiap-tiap manusia Kami gantungkan (catatan) amalannya pada tengkuknya…” (Surah
Bani Israil, ayat 13).