(Petikan surat
Syeikh Abdul Qadir al-Jilani)
Sahabat-sahabatku
yang dikasihi. Hati kamu adalah seumpama cermin yang berkilat. Kamu mesti
membersihkannya daripada debu dan kekotoran yang menutupinya. Cermin hati kamu
itu telah ditakdirkan untuk memancarkan cahaya rahsia-rahsia Ilahi.
Bila
cahaya dari “ Allah adalah
cahaya bagi semua langit dan bumi… ”
mula menyinari ruang hati kamu, lampu hati kamu akan menyala. Lampu hati itu
“berada di dalam kaca, kaca itu sifatnya seumpama bintang berkilau-kilauan
terang benderang…” Kemudian kepada hati itu anak panah penemuan-penemuan suci
akan hinggap. Anak panah kilat akan mengeluarkan daripada awan petir maksud
“bukan dari timur atau barat, dinyalakan dari pohon zaitun yang diberkati…” dan
memancarkan cahaya ke atas pokok penemuan, sangat tulen, sangat lutsinar
sehingga ia “memancarkan cahaya walaupun tidak disentuh oleh api”. Kemudian
lampu makrifat (hikmah kebijaksanaan) akan menyala sendiri. Mana mungkin ia
tidak menyala sedangkan cahaya rahsia Allah menyinarinya?
Sekiranya
cahaya rahasia Ilahi bersinar ke atasnya, langit malam kepada rahsia-rahsia
akan menjadi terang oleh ribuan bintang-bintang “…dan berpandukan
bintang-bintang (kamu) temui jalan (kamu)…” . Bukanlah bintang yang
memandu kita tetapi cahaya Ilahi. Lantaran Allah “…menghiaskan langit rendah
dengan keindahan bintang-bintang”. Sekiranya lampu rahsia-rahsia Ilahi
dinyalakan di dalam diri batin kamu yang lain akan datang secara sekaligus atau
beransur-ansur. Sebahagiannya kamu telah ketahui sebahagian yang lain akan kami
beritahu di sini. Baca, dengar, cuba fahamkan. Langit ketidaksedaran
(kelalaian) yang gelap akan dinyalakan oleh kehadiran Ilahi dan kedamaian serta
keindahan bulan purnama yang akan naik dari ufuk langit memancarkan “cahaya di
atas cahaya” berterusan meninggi di langit, melepasi peringkat yang ditentukan
sebagaimana yang Allah telah tentukan bagi kerajaan-Nya, sehingga ia bersinar
penuh kemuliaan di tengah-tengah langit, menghambat kegelapan kelalaian. “(Aku bersumpah) demi malam
apabila ia senyap sepi…dengan cuaca pagi yang cemerlang…” malam ketidaksedaran
kamu akan melihat terangnya hari siang. Kemudian kamu akan menghirup air wangi
kenangan dan “bertaubat di awal pagi” terhadap ketidaksedaran
(kelalaian) dan menyesali umur kamu yang dihabiskan di dalam lena. Kamu akan
mendengar nyanyian burung bulbul di pagi hari dan kamu akan mendengarnya
berkata:
Mereka tidur sedikit sahaja di malam hari dan pada awal pagi mereka
memohon keampunan Allah Allah bimbangkan kepada cahaya-Nya sesiapa yang Dia
kehendaki.
Kemudian
kamu akan melihat di ufuk langit peraturan Ilahi akan matahari ilmu batin mula
terbit. Ia adalah matahari kamu sendiri, Lantaran kamu adalah “yang Allah beri petunjuk” dan kamu “berada pada
jalan yang benar” dan bukan “mereka yang Dia tinggalkan di dalam kesesatan”.
Dan kamu akan memahami rahsia: Tidak diizinkan matahari mengejar bulan dan tidak pula malam mendahului siang.
Tiap sesuatu berjalan pada landasan (masing-masing).
Akhirnya
ikatan akan terurai selaras dengan “perumpamaan yang Allah adakan untuk insan
dan Allah mengetahui tiap sesuatu”, dan tabir-tabir akan terangkat dan kulit
akan pecah, mendedahkan yang seni di bawah pada yang kasar. Kebenaran akan
membuka tutupan mukanya.
Semua
ini akan bermula bila cermin hati kamu dipersucikan. Cahaya rahsia-rahsia Ilahi
akan memancar Padanya jika kamu berhajat dan bermohon kepada-Nya, daripada-Nya,
dengan-Nya.