4: MANUSIA
KEMBALI KE KAMPUNG HALAMAN, KEPADA ASAL USUL / PERMULAAN MEREKA
Manusia
dipandang daripada dua sudut; wujud lahiriah dan wujud rohani. Dalam segi
kewujudan lahiriah keadaan kebanyakan manusia adalah berlebih kurang saja di
antara satu sama lain. Oleh yang demikian peraturan kemanusiaan yang umum boleh
digunakan untuk sekalian manusia bagi urusan lahiriah mereka. Dalam sudut
kewujudan rohani yang tersembunyi di sebalik wujud lahiriah, setiap manusia
adalah berbeda. Jadi, peraturan yang khusus mengenai diri masing-masing
diperlukan.
Manusia
boleh kembali kepada asalnya dengan mengikuti peraturan umum, dengan mengambil
langkah-langkah tertentu. Dia mestilah mengambil peraturan agama yang jelas dan
mematuhinya. Dengan demikian dia boleh maju ke hadapan. Dia boleh meningkat
dari satu peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi sehingga dia sampai dan
memasuki jalan atau peringkat kerohanian, masuk ke daerah makrifat. Peringkat
ini sangat tinggi dan dipuji oleh Rasulullah s.a.w, “ Ada suasana yang semua dan
segala-galanya berkumpul di sana dan ia adalah makrifat yang murni”.
Untuk
sampai ke peringkat tersebut Perlulah dibuang kepura-puraan dan kepalsuan yang
melakukan kebaikan kerana menunjuk-nunjuk. Kemudian dia perlu menetapkan tiga
matlamat. Tiga matlamat tersebut sebenarnya adalah tiga jenis syurga. Yang
pertama dinamakan Ma'wa – syurga tempat kediaman yang aman. Ia adalah syurga
duniawi. Kedua, Na'im – taman keredaan Allah dan kurniaan-Nya kepada
makhluk-Nya. Ia adalah syurga di dalam alam malaikat. Ketiga dinamakan Firdaus
– syurga alam tinggi. Ia adalah syurga pada alam kesatuan akal asbab, rumah
kediaman bagi roh-roh, medan bagi nama-nama dan sifat-sifat. Kesemua ini adalah
balasan yang baik, keelokan Allah yang manusia berjasad akan nikmati dalam
usahanya sepanjang tiga peringkat ilmu pengetahuan yang berturut-turut; usaha
mematuhi peraturan syariat; usaha menghapuskan yang berbilang-bilang pada
dirinya, melawan penyebab yang menimbulkan suasana berbilang-bilang itu, iaitu
ego diri sendiri, bagi mencapai peringkat penyatuan dan kehampiran dengan
Pencipta; akhirnya usaha untuk mencapai makrifat, di mana dia mengenali
Tuhannya. Peringkat pertama dinamakan syariat, kedua tarekat dan ketiga
makrifat.
Nabi Muhammad s.a.w
menyimpulkan keadaan-keadaan tersebut dengan sabda baginda s.a.w, “ Ada suasana
di mana semua dan segala-galanya dikumpulkan dan ia adalah hikmah kebijaksanaan
(makrifat)”. Baginda s.a.w juga bersabda, “Dengannya
seseorang mengetahui kebenaran (hakikat), yang berkumpul di dalamnya
sebab-sebab dan semua kebaikan. Kemudian seseorang itu mesti bertindak atas
kebenaran (hakikat) tersebut. Dia juga perlu mengenali kepalsuan dan bertindak
ke atasnya dengan meninggalkan segala yang demikian”. Baginda s.a.w
mendoakan, “Ya
Allah, tunjukkan kepada kami yang benar dan jadikan pilihan kami mengikuti yang
benar itu. Dan juga tunjukkan kepada kami yang tidak benar dan permudahkan kami
meninggalkannya”. Orang
yang kenal dirinya dan menentang keinginannya yang salah dengan segala
kekuatannya akan sampai kepada mengenali Tuhannya dan akan menjadi taat kepada
kehendak-Nya.
Semua
ini adalah peraturan umum yang mengenai diri zahir manusia. Kemudian ada pula
aspek diri rohani atau diri batin manusia yang merupakan insan yang tulen, suci
bersih dan murni. Maksud dan tujuan diri ini hanya satu iaitu kehampiran secara
keseluruhan kepada Allah s.w.t. Satu cara sahaja untuk mencapai suasana yang
demikian, iaitu pengetahuan tentang yang sebenarnya (hakikat). Di dalam daerah
wujud penyatuan mutlak, pengetahuan ini dinamakan kesatuan atau keesaan.
Matlamat
pada jalan tersebut harus diperolehi di dalam kehidupan ini. Di dalam suasana
itu tiada beza di antara tidur dengan jaga kerana di dalam tidur roh
berkesempatan membebaskan dirinya untuk kembali kepada asalnya, alam arwah, dan
dari sana kembali semula ke sini dengan membawa berita-berita dari alam ghaib.
Fenomena ini dinamakan mimpi. Dalam keadaan mimpi ia berlaku secara
sebahagian-bahagian. Ia juga boleh berlaku secara menyeluruh seperti israk dan
mikraj Rasulullah s.a.w. Allah berfirman: “Allah
memegang jiwa-jiwa ketika matinya dan yang tidak mati, dalam tidurnya, lalu Dia
tahan yang dihukumkan mati atasnya dan Dia lepaskan yang lain”. (Surah Zumaar,
ayat 42).
Nabi s.a.w bersabda, “Tidur orang alim lebih baik
daripada ibadat orang jahil” . Orang alim adalah orang yang
telah memperolehi pengetahuan tentang hakikat atau yang sebenar, yang tidak
berhuruf, tidak bersuara. Pengetahuan demikian diperolehi dengan terus menerus
berzikir nama keesaan Yang Maha Suci dengan lidah rahsia. Orang alim adalah
orang yang zat dirinya ditukarkan kepada cahaya suci oleh cahaya keesaan. Allah
berfirman melalui rasul-Nya: “Insan
adalah rahsia-Ku dan Aku rahsianya. Pengetahuan batin tentang hakikat roh
adalah rahsia kepada rahsia-rahsia-Ku. Aku campakkan ke dalam hati
hamba-hamba-Ku yang baik-baik dan tiada siapa tahu Keadaannya melainkan Aku.”
“Aku adalah
sebagaimana hamba-Ku mengenali Daku. Bila dia mencari-Ku dan ingat kepada-Ku,
Aku besertanya. Jika dia mencari-Ku di dalam, Aku mendapatkannya dengan Zat-Ku.
Jika dia ingat dan menyebut-Ku di dalam jemaah yang baik, Aku ingat dan
menyebutnya di dalam jemaah yang lebih baik”.
Segala yang dikatakan
di sini jika berhasrat mencapainya perlulah melakukan tafakur – cara
mendapatkaan pengetahuan yang demikian jarang digunakan oleh orang ramai. Nabi
s.a.w bersabda, “Satu saat
bertafakur lebih bernilai daripada satu tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur
lebih bernilai daripada tujuh puluh tahun beribadat”. “Satu saat bertafakur
lebih bernilai daripada seribu tahun beribadat”.
Nilai sesuatu amalan
itu tersembunyi di dalam hakikat kepada yang sebenarnya. Perbuatan bertafakur
di sini nampaknya mempunyai nilai yang berbeda.
Sesiapa
merenungi sesuatu perkara dan mencari penyebabnya dia akan mendapati setiap
bahagian mempunyai bahagian-bahagian sendiri dan dia juga mendapati setiap satu
itu menjadi penyebab kepada berbagai-bagai perkara lain. Renungan begini
bernilai satu tahun ibadat.
Sesiapa
merenungi kepada pengabdiannya dan mencari penyebab dan alasan dan dia dapat
mengetahui yang demikian, renungannya bernilai lebih daripada tujuh puluh tahun
ibadat.
Sesiapa
merenungkan hikmah kebijaksanaan Ilahi dan bidang makrifat dengan segala
kesungguhannya untuk mengenal Allah Yang Maha Tinggi, renungannya bernilai
lebih daripada seribu tahun ibadat kerana ini adalah ilmu pengetahuan yang
sebenarnya.
Pengetahuan
yang sebenarnya adalah suasana keesaan. Orang arif yang menyintai menyatu
dengan yang dicintainya. Daripada alam kebendaan terbang dengan sayap
kerohanian meninggi hingga kepada puncak pencapaian. Bagi ahli ibadat berjalan
di dalam syurga, sementara orang arif terbang kepada kedudukan berhampiran
dengan Tuhannya. Para pencinta mempunyai mata pada hati mereka
mereka memandang sementara yang lain terpejam sayap yang mereka
miliki tanpa daging tanpa darah mereka terbang ke arah malaikat Tuhan
jualah yang dicari!
Penerbangan
ini terjadi di dalam alam kerohanian orang arif. Para arifbillah mendapat
penghormatan dipanggil insan sejati, menjadi kekasih Allah, sahabat-Nya yang
akrab, pengantin-Nya. Bayazid al-Bustami berkata, “Para Pemegang makrifat
adalah pengantin Allah Yang Maha Tinggi”.
Hanya
pemilik-pemilik ‘pengantin yang pengasih' mengenali mereka dengan dekat dan
secara mesra.. Orang-orang arif yang menjadi sahabat akrab Allah, walaupun
sangat cantik, tetapi ditutupi oleh keadaan luaran yang sangat sederhana,
seperti manusia biasa. Allah berfirman melalui rasul-Nya: “ Para sahabat-Ku tersembunyi
di bawah kubah-Ku. Tiada yang mengenali mereka kecuali Aku”.
Kubah
yang di bawahnya Allah sembunyikan sahabat-sahabat akrab-Nya adalah keadaan
mereka yang tidak terkenal, rupa yang biasa sahaja, sederhana dalam segala
hal. Bila melihat kepada pengantin yang ditutupi oleh tabir perkahwinan,
apakah yang dapat dilihat kecuali tabir itu?
Yahya
bin Muadh al-Razi berkata, “ Para kekasih Allah adalah air wangi Allah di dalam
dunia. Tetapi hanya orang-orang yang beriman yang benar dan jujur sahaja dapat
menciumnya”. Mereka mencium keharuman baunya lalu mereka mengikuti bau itu.
Keharuman itu mengwujudkan kerinduan terhadap Allah dalam hati mereka.
Masing-masing dengan cara tersendiri mempercepatkan langkahnya, menambahkan
usaha dan ketaatannya. Darjah kerinduannya, keinginannya dan kelajuan
perjalanannya bergantung kepada berapa ringan beban yang dibawanya, sejauh mana
dia telah melepaskan diri kebendaan dan keduniaannya. Semakin banyak seseorang
itu menanggalkan pakaian dunia yang kasar ini semakin dia merasakan kehangatan.
Penciptanya dan semakin hampirlah kepada permukaan akan muncul diri
rohaninya. Kehampiran dengan yang sebenar (hakikat) bergantung kepada sejauh
mana seseorang itu melepaskan kebendaan dan keduniaan yang menipu daya.
Penanggalan
aspek yang berbilang-bilang pada diri membawa seseorang hampir dengan
satu-satunya kebenaran. Orang yang akrab dengan Allah adalah orang yang telah
membawa dirinya kepada keadaan kekosongan. Hanya selepas itu baharulah dia
dapat melihat kewujudan yang sebenarnya (hakikat). Tidak ada lagi kehendak pada
dirinya untuk dia membuat sebarang pilihan. Tiada lagi ‘aku' yang tinggal,
kecuali kewujudan satu-satunya iaitu yang sebenarnya (hakikat). Walaupun
berbagai-bagai kekeramatan yang muncul melalui dirinya sebagai membuktikan
kedudukannya, dia tidak ada kena mengena dengan semua itu. Di dalam suasananya
tidak ada pembukaan terhadap rahsia-rahsia kerana membuka rahsia Ilahi adalah
kekufuran.
Di
dalam buku yang bertajuk “Mirsad” ada dituliskan, ‘Semua orang yang kekeramatan
zahir melalui mereka adalah ditutup daripadanya dan tidak memperdulikan keadaan
tersebut. Bagi mereka masa kekeramatan muncul melalui mereka dianggap sebagai
masa perempuan keluar darah haid. Wali-wali yang hampir dengan Allah perlu
mengembara sekurang-kurangnya seribu peringkat, yang pertamanya ialah pintu
kekeramatan. Hanya mereka yang dapat melepasi pintu ini tanpa dicederakan akan
meningkat kepada peringkat-peringkat lain yang lebih tinggi. Jika mereka leka
mereka tidak akan sampai ke mana-mana.